Tuesday, May 24, 2011

SUKARKAH MENGHASILKAN KARANGAN STPM?


Nawi bin Ismail


Pelajar yang mempelajari mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) pada peringkat tingkatan enam, sudah tentu memperoleh pangkat A atau B dalam peperiksaan SPM. Pencapaian tersebut selayaknya memberikan gambaran bahawa pelajar prauniversiti sudah pun memiliki pengetahuan yang mencukupi tentang kaedah untuk menguasai kemahiran menulis. Hal ini demikian kerana perkara yang dipelajari pada tahap ini merupakan lanjutan daripada pelajaran pada peringkat sebelumnya. Makalah ini akan memfokuskan masalah penulisan karangan dalam kalangan pelajar prauniversiti. Perbezaan karangan BM SPM dengan BM STPM adalah seperti yang berikut.























Tahap


Jumlah Karangan


Panjang


Format Berformat


Markah Penuh


SPM


Dua buah, iaitu:



A berdasarkan


rangsangan


B memilih satu


daripada lima soalan



200 – 250 perkataan


melebihi 350 perkataan



Antaranya termasuklah


pidato, wawanca,


laporan, surat rasmi,


surat tidak rasmi,


bahas, dll



Bhg. A = 30



Bhg. B = 100


STPM


Pilih satu daripada empat soalan


650 – 700 perkataan


Tiga sahaja, iaitu laporan, ceramah, dan memorandum



50


Jadual di atas menunjukkan bahawa calon SPM dikehendaki menulis dua buah karangan berbanding dengan sebuah sahaja oleh calon STPM. Terdapat pelajar yang menyatakan bilangan perkataan bagi karangan STPM agak panjang, iaitu antara 650 hingga 700 patah perkataan, namun karangan pada peringkat SPM sebenarnya tidak juga pendek. Pada peringkat SPM, karangan Bahagian B hendaklah ditulis melebihi 350 patah perkataan. Panjang karangan tersebut tidak dihadkan. Bagi karangan A pula, walaupun panjangnya dinyatakan antara 200 hingga 250 patah perkataan tetapi pelajar dibenarkan menulis lebih panjang, malah ada guru yang menggalakkan pelajarnya berbuat demikian.


Bagi pelajar STPM, masalah panjang pendek karangan tidak sewajarnya ditimbulkan. Hal ini demikian kerana karangan yang kurang daripada 650 patah perkataan akan dipotong markahnya kerana pendek, manakala karangan yang melebihi 700 patah perkataan, bahagian yang lebih itu tidak akan dibaca. Dalam peperiksaan, bilangan pelajar yang tidak mematuhi peraturan tersebut masih tinggi jumlahnya. Perkara ini berpunca daripada sikap pelajar yang tidak mengambil berat tentang disiplin penulisan yang diajarkan atau disebabkan kurangnya penekanan guru tentang perkara itu. Walau apa-apa pun puncanya, kegagalan pelajar mematuhi arahan tersebut pasti menjejaskan markah yang sewajarnya diperoleh.


Setelah selesai peperiksaan STPM 2008 baru-baru ini, terdapat sesetengah calon yang menyuarakan kegembiraan mereka apabila tajuk karangan “telefon bimbit” yang ditanyakan dalam peperiksaan tersebut dikatakan mudah dan dapat dijawab dengan baik. Untuk menilai sama ada karangan tersebut dapat ditulis dengan baik, penulis meminta 20 orang pelajar tingkatan atas (calon STPM 2009) untuk menulis karangan tersebut. Soalan yang lengkap adalah seperti yang berikut.







Telefon bimbit kini semakin digemari oleh masyarakat tanpa mengira golongan. Jelaskan sebab alat ini menjadi pilihan ramai dan kesan yang akan timbul daripada penggunaannya. (STPM 2008)


Berdasarkan jawapan yang diberikan, nyata sekali pelajar dapat memahami kehendak soalan di atas dengan baik. Pelajar juga mampu menulis enam isi, iaitu tiga isi tentang sebab telefon bimbit menjadi pilihan ramai dan tiga isi tentang kesan penggunaan alat tersebut. Antara isi yang dikemukakan pelajar adalah seperti yang berikut.










sebab telefon bimbit menjadi pilihan


kesan penggunaan telefon bimbit


· fungsinya pelbagai


· mudah dibawa ke sana sini


· lambang gaya hidup moden


harga berpatutan


· memudahkan komunikasi


· membazirkan wang


· melalaikan remaja


· meningkatkan gejala sosial


· menjejaskan kesihatan


Demikianlah isi yang dapat difikirkan oleh pelajar dan kesemua isi tersebut adalah betul. Namun demikian, setelah karangan disemak, didapati kebanyakan pelajar memperoleh markah antara 20 hingga 25 markah daripada markah penuhnya 50. Mengapakah demikian? Bagi menjawab soalan tersebut, telitilah persembahan salah satu isi di atas dalam perenggan di bawah ini.







//Sebab utama telefon bimbit diminati ramai adalah kerana harga alat tersebut adalah murah. //Alat tersebut juga mudah didapati di mana sahaja misalnya di bandar-bandar besar. //Malahan telefon bimbit juga boleh didapati di pekan-pekan kecil dengan harga yang murah. Lagipun, kini kebanyakan orang sudah memperoleh pendapatan yang tinggi dan tiada masalah untuk membeli telefon bimbit. Oleh sebab itu, telefon bimbit bukan sahaja dimiliki oleh orang dewasa tetapi juga dimiliki oleh kanak-kanak. //Kadangkala telefon bimbit yang anak-anak miliki lebih mahal daripada ibu bapa mereka. //Ini menunjukkan ibu bapa mampu membeli telefon bimbit kerana harganya lebih rendah berbanding dengan pada zaman awalnya di mana harganya jauh lebih tinggi dan ketika itu telefon bimbit hanya digunakan oleh individu tertentu yang berkedudukan tinggi dalam masyarakat atau golongan yang berada. Oleh sebab itulah telefon bimbit kini digemari ramai.


(133 patah perkataan)


Catatan:


// ______________________________ menunjukkan kesalahan struktur


Pelajar yang berkenaan mengemukakan isi yang betul, iaitu harga telefon bimbit yang murah adalah antara faktor alat tersebut menjadi pilihan ramai. Namun begitu, dalam huraiannya pelajar yang berkenaan tidak memberikan penjelasan tentang sebab harga telefon bimbit murah, sebaliknya memperkatakan aspek lain yang kurang membantu pembaca memahami isi yang ditulis. Daripada tiga markah penuh, berapakah markah yang layak diterima oleh pelajar tersebut?


Kesalahan bahasa dalam petikan di atas amat ketara. Bacalah petikan di atas dengan teliti dan berbincanglah dengan rakan anda untuk memahami kesalahan bahasa dalam ayat yang digarisi di atas. Setelah itu, buatlah pembetulannya dan berusahalah untuk tidak melakukan kesalahan yang sedemikian. Harus diingat bahawa markah penuh bahasa dalam karangan STPM, ialah 15. Pelajar akan memperoleh markah bahasa antara 1 hingga 3 markah sahaja sekiranya didapati kesalahan struktur melebihi 21.


Untuk memantapkan persembahan isi karangan, pelajar dicadangkan agar mematuhi konsep persembahan isi karangan seperti yang berikut.



















ISI


HURAIAN


APA


MENGAPA


IMPAKNYA


harganya murah dan mampu dibeli oleh orang ramai


· banyak jenis telefon bimbit di pasaran – ada yang murah dan ada yang mahal; boleh buat pilihan


· ada telefon terpakai – harganya lebih murah


· penjual membuat pelbagai promosi


keadaan ini menarik minat orang ramai untuk memiliki telefon bimbit


Sekiranya perkara di atas tersemat dalam minda masing-masing, pelajar tiada masalah untuk mempersembahkan isi di atas seperti yang berikut.







Harganya yang berpatutan adalah antara faktor alat komunikasi tersebut menjadi pilihan ramai. Hal ini demikian kerana terdapat pelbagai model telefon bimbit di pasaran yang dijual dengan harga yang berbeza-beza. Golongan yang berada akan memilih telefon yang berjenama walaupuan harganya mahal, manakala yang kurang berada pula akan memilih telefon bimbit yang harganya murah. Selain itu, telefon bimbit yang terpakai juga terdapat di pasaran dengan harga yang kurang daripada seratus ringgit. Lagipun, syarikat atau pengedar telefon kerap mengadakan promosi jualan telefon bimbit pada masa-masa tertentu. Dengan demikian, tidak hairanlah sekiranya alat tersebut menjadi pilihan orang ramai.


(94 patah perkataan)


Persembahan isi dan huraian isi dalam perenggan di atas jelas dan tepat. Lagipun, perenggan di atas bebas daripada kesalahan struktur. Karangan yang sedemikian akan memperoleh markah yang maksimum dan seterusnya memastikan kecemerlangan pelajar dalam BM STPM. Penjelasan di atas membuktikan bahawa soalan karangan yang mudah belum tentu menjanjikan markah yang cemerlang sekiranya disiplin penulisan tidak dikuasai pelajar dengan baik. Sekiranya kaedah ini dijadikan kebiasaan, pelajar akan menyatakan bahawa karangan BM STPM mudah sahaja.





MENGENALI AYAT SONGSANG BAHASA MELAYU
Nawi bin Ismail


Sebagai guru yang barangkali dianggap berpengalaman dalam pengajaran dan pemelajaran (p & p) Bahasa Melayu (BM), penulis kerap diajukan kemusykilan tatabahasa oleh rakan-rakan guru. Kebiasaannya, pertanyaan sedemikian lebih banyak timbul menjelang peperiksaan. Baru-baru ini beberapa orang guru dan pelajar telah mengemukakan pertanyaan seperti yang berikut.







· Boleh atau tidak ayat dimulakan dengan “untuk”, “ dengan” dan “sambil”?


· Dahulu, ayat tidak boleh dimulakan dengan “untuk”, “dengan”, dan “sambil”.


Sekarang dah boleh ke?


· Cikgu saya menyatakan bahawa ayat tidak boleh dimulakan dengan “untuk” atau “dengan” tetapi ada pula guru yang kata boleh. Yang mana betul?



Perkara asas dalam ketiga-tiga soalan di atas hampir sama. Soalan tersebut secara tidak langsung memberikan gambaran tentang kekeliruan pengguna bahasa Melayu tentang ayat. Akibatnya, ada yang menyatakan bahawa tatabahasa bahasa Melayu selalu berubah. Makalah ini akan memberikan penjelasan tentang kemusykilan tersebut agar pembaca tidak lagi keliru dan tidak membuat andaian yang bukan-bukan tentang tatabahasa bahasa Melayu.


Mengikut buku Tatabahasa Dewan, ayat boleh terbentuk dalam susunan biasa dan boleh juga dalam susunan songsang. Dalam susunan songsang, unsur-unsur dalam konstituen predikat yang biasanya hadir selepas subjek dipindahkan ke hadapan subjek. Sila baca ayat yang berikut.



1. Baju kurung itu untuk ibu saya. 2. Mereka perlu berusaha untuk cemerlang.


Ayat di atas dibina dalam susunan biasa, iaitu subjek mendahului predikat. Sekiranya disongsangkan, terhasillah ayat yang berikut.



1.a Untuk ibu saya baju kurung itu. 2.a Untuk cemerlang mereka perlu berusaha.



Bukankah ayat seperti 1.a dan 2.a sudah lumrah digunakan dalam bahasa Melayu? Bacalah ayat yang berikut dan telitilah binaan ayat tersebut apabila disongsangkan.














Bil.



Susunan biasa



Susunan songsang



1.


2.



3.



4.



5.



6.



7.



8.



Pelajar itu sungguh berdisiplin.


Bungkusan itu daripada bapa Ali.



Nasib pemuda itu amat malang.



Encik Malek dari tanah seberang.



Pengetua masih belum tiba.



Mereka akan ke luar negara.



Datuk sedang membaca akhbar.



Saya berpegang pada janjinya.



Sungguh berdisiplin pelajar itu


Daripada bapa Ali bungkusan itu.



Amat malang nasib pemuda itu.



Dari tanah seberang Encik Malek.



Masih belum tiba pengetua.



Akan ke luar negara mereka.



Sedang membaca akhbar datuk.



Pada janjinya saya berpegang.




Waupun ada antara ayat seperti ayat 1 hingga 8 di atas jarang digunakan oleh sesetengah pengguna bahasa Melayu, tidaklah bermakna struktur ayat itu salah.


Dalam bahasa Melayu, pelajar juga mempelajari ayat majmuk gabungan, ayat majmuk pancangan dan ayat majmuk campuran. Ayat majmuk pancangan terbahagi kepada tiga, iaitu ayat majmuk pancangan relatif (ayat relatif), ayat majmuk pancangan komplemen (ayat komplemen) dan ayat majmuk pancangan keterangan (ayat keterangan). Contoh ayat relatif adalah seperti yang berikut.



9. Ali membaca buku yang baru dibelinya. 10. Mereka bersembunyi di tempat yang kotor itu.



Kedua-dua ayat tersebut menggunakan kata hubung relatif yang. Dalam bahasa Melayu, perkataan yang bukan sahaja digunakan sebagai penanda relatif tetapi digunakan juga sebagai pengganti nama yang digugurkan daripada frasa nama + yang.



11. Buku yang tebal itu buku kawan saya. 12. Mereka yang rajin belajar akan cemerlang.





Dalam ayat 11 dan 12 “buku” dan “mereka” boleh digugurkan untuk membentuk ayat yang berikut.



11.a Yang tebal itu buku kawan saya. 12.a Yang rajin belajar akan cemerlang.



Ayat komplemen menggunakan kata hubung bahawa dan untuk seperti yang berikut.



13. Pengetua menyatakan bahawa bangunan itu akan dirobohkan.


14. Bahawa bangunan itu akan dirobohkan tidak benar.



15. Untuk kami memenangi peraduan itu agak sukar.



16. Agak sukar untuk kami memenangi peraduan itu.



Selain itu, terdapat sembilan jenis ayat keterangan seperti dalam contoh yang berikut.



17. Pelajar itu cemerlang kerana dia tekun belajar. (musabab)



18. Budak-budak itu bersorak sehingga suaranya serak. (akibat)



19. Razali akan ke universiti sekiranya mendapat tawaran. (syarat)



20. Pelajar belum tiba ketika bumbung dewan itu runtuh. (waktu)



21. Seman masih belajar walaupun sudah berumur. (pertentangan)



22. Rakyat bersatu supaya keamanan negara terjamin. (harapan)



23. Pelancong ke pulau itu dengan menaiki bot laju. (cara)



24. Dewan itu dibina untuk kegunaan penduduk kampung. (tujuan)



25. Pendatang itu kebingungan bagai rusa masuk kampung. (perbandingan)



Ayat di atas dapat ditulis mengikut susunan songsang, seperti yang berikut.



17.a Kerana dia tekun belajar, pelajar itu cemerlang.


18.a Sehingga suaranya serak, budak-budak itu bersorak.



19.a Sekiranya mendapat tawaran, Razali akan ke universiti.



20.a Ketika bumbung dewan itu runtuh, pelajar belum tiba.



21.a Walaupun sudah berumur, Seman masih belajar.



22.a Supaya keamanan negara terjamin, rakyat bersatu.



23.a Dengan menaiki bot laju, pelancong ke pulau itu.



24.a Untuk kegunaan penduduk kampung, dewan itu dibina.



25.a Bagai rusa masuk kampung, pendatang itu kebingungan.



Setelah membaca dan memahami bentuk ayat di atas, sila bina ayat yang berikut mengikut susunan songsang.



26. Suraya menyanyi sambil menari.


27. Kakak memotong daging dengan pisau tajam.



28. Pelajar itu ke sekolah dengan mengayuh basikal.



29. Orang tua itu menaiki tangga rumahnya dengan berhati-hati.



30. Salmah menyampaikan pidatonya dengan suara yang lantang




Berdasarkan penjelasan ini, nyatalah bahawa bentuk ayat di atas banyak digunakan dan tidak menyalahi


tatabahasa bahasa Melayu. Apabila perkara ini dikemukakan kepada guru, terdapat juga guru yang mengakui bahawa


ayat-ayat sedemikian tidak menyalahi tatabahasa tetapi penggunaannya tidak digalakkan kerana dikatakan kurang


menarik. Alasan tersebut tidak boleh digunakan dalam konteks ini. Dengan hal yang demikian, amatlah tidak wajar


sekiranya ayat songsang disalahkan kerana ayat-ayat tersebut tetap menepati binaan ayat bahasa Melayu.



Terdapat juga pengguna bahasa Melayu yang tersilap menerima penjelasan daripada pihak-pihak tertentu tentang


kesalahan ayat, seperti yang berikut.



31.* Kepada pemenang peraduan mengarang diminta untuk melaporkan diri kepada pihak urus setia.



32.* Bagi mengatasi masalah itu memerlukan sokongan daripada semua pihak.




33.* Dengan mengemukakan berbagai-bagai sijil semasa temu duga masih gagal mendapat pekerjaan.



34.* Tatkala hujan turun dengan lebatnya pada petang itu.



35.* Untuk menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh pendatang asing di tempat itu.



Ayat 31 hingga 35 memang tidak tepat dan ada yang menyatakan bahawa ketidaktepatan itu disebabkan


oleh penggunaan kepada, bagi, dengan, tatkala, dan untuk di awal ayat. Sebenarnya, bentuk itu salah


kerana tidak lengkap sama ada tiada subjek atau berupa keterangan semata-mata. Bentuk itu hendaklah


dibetulkan seperti yang berikut.


31.a Kepada pemenang peraduan mengarang, mereka diminta untuk melaporkan diri kepada pihak urus


setia.



32.a Bagi mengatasi masalah itu, pihak kerajaan memerlukan sokongan daripada semua pihak.



33.a Dengan mengemukakan berbagai-bagai sijil semasa temu duga, Roslan masih gagal mendapat


pekerjaan.



34.a Tatkala hujan turun dengan lebatnya pada petang itu, ribut petir berlaku.



35.a Untuk menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh pendatang asing di tempat itu, beberapa


tindakan diambil.



Rujukilah buku tatabahasa untuk mendapat penjelasan lanjut tentang ayat songsang. Sekiranya timbul masalah, berbincanglah dengan mereka yang berpengetahuan.