Tuesday, September 28, 2010

MEMANFAATKAN PERIBAHASA DAN COGAN KATA

MEMANFAATKAN PERIBAHASA DAN COGAN KATA
DALAM KARANGAN


Sukan banyak mendatangkan faedah kepada orang ramai. Oleh sebab itu, pihak kerajaan telah menjalankan berbagai-bagai usaha untuk menggalakkan orang ramai bersukan. Jelaskan faedah aktiviti sukan kepada masyarakat dan negara.

Soalan di atas meminta pelajar menjelaskan faedah aktiviti sukan kepada masyarakat dan negara. Sebelum menulis karangan tersebut, pelajar seharusnya mampu mengutarakan lima atau enam isi tentang faedah yang dikehendaki. Faedah (isi karangan) yang dicadangkan adalah seperti yang berikut.

1. mengisi masa lapang
2. menyihatkan badan
3. mengeratkan hubungan kekeluargaan
4. menjadi sumber pendapatan
5. memantapkan perpaduan kaum
6. meningkatkan imej negara

Pelajar Q

Dengan bersukan, seseorang dapat mengisi masa lapang dengan cara yang berfaedah. Hal ini demikian kerana aktiviti sukan biasanya dijalankan pada masa lapang, terutama petang ataupun pada hari minggu. Dengan demikian, mereka yang bersukan tidak mempunyai masa untuk lepak di kompleks beli-belah dan bergaul dengan penagih dadah atau menyertai kumpulan gangster. Tegasnya, penglibatan individu dalam aktiviti sukan secara tidak langsung dapat melahirkan generasi yang bijak menghargai masa. Amalan ini penting kerana peribahasa ada menyatakan bahawa masa itu emas. Dari aspek yang lain pula, golongan ini tidak mudah untuk terlibat dalam gejala sosial yang akan menggelapkan masa depan mereka. (97 pp)

Pelajar Q ternyata mematuhi kaedah persembahan isi yang betul, iaitu dapat memenuhi maklumat yang dikehendaki.

ISI - APA
Mengisi masa dengan cara yang berfaedah

PERSEMBAHAN - MENGAPA
+ Aktiviti ini dijalankan pada masa lapang – petang atau hari minggu
+ Tiada masa untuk lepak
+ Tahu menghargai masa – masa itu emas

LANJUTANNYA

+ Terhindar daripada gejala sosial.

Bagaimana pula dengan persembahan isi oleh Pelajar R yang berikut?
Pelajar R

Orang ramai juga disyorkan agar bersukan untuk menjaga kesihatan masing-masing. Hal ini demikian kerana semasa bersukan pembakaran lemak dalam badan berlaku dan badan akan mengeluarkan peluh. Dengan demikian, masalah lebihan lemak dalam badan dapat dielakkan. Selain itu, jantung pula dapat bergerak dengan aktif untuk melancarkan perjalanan darah dan seterusnya meningkatkan kecergasan seseorang. Ertinya, jika lebih ramai yang bersukan, bilangan warganegara kita yang sihat akan bertambah. Harus diingat bahawa kesihatan fizikal secara tidak langsung membantu kecerdasan minda seseorang. Hal ini bertepatan dengan cogan kata, badan cergas, minda cerdas. (87 patah perkataan)

Pelajar R menyelitkan cogan kata dalam persembahan isi di atas. Berdasarkan pemahaman anda, adakah persembahan isi karangan di atas tepat? Huraian sesuatu isi dikatakan tepat atau dikategorikan baik, sekiranya perkara yang diperkatakan itu dapat memenuhi maklumat yang dikehendaki dalam BORPIK.

Untuk mengukuhkan pemahaman anda tentang perkara ini, ikutilah persembahan isi karangan yang berikut (mengeratkan hubungan kekeluargaan).

Pelajar S

Selain itu, aktiviti sukan juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Situasi ini berlaku apabila ahli keluarga yang terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak bersukan, misalnya bermain badminton, pingpong ataupun berjoging bersama-sama. Pada masa yang lain pula, mereka menyaksikan kejohanan olahraga atau pertandingan sukan di dalam atau di luar negara. Ketika bersama-sama inilah, ahli keluarga dapat bertukar-tukar fikiran tentang pelbagai perkara. Melalui cara ini, anak-anak merasakan bahawa mereka disayangi dan secara tidak langsung hubungan kekeluargaan menjadi lebih erat. Amalan ini menjadi asas pembentukan Keluarga Penyayang dan seterusnya Masyarakat Penyayang seperti yang diuar-uarkan. (90 pp)

Pelajar T

Sesetengah individu telah menjadikan sukan sebagai sumber pendapatan mereka. Sebagai contoh, Lee Chong Wei dan Nicol David telah membuktikan keupayaan mereka untuk mengaut kekayaan melalui penglibatan mereka secara yang serius dalam sukan badminton dan squasy. Sesetengah individu pula memperoleh pendapatan yang lumayan melalui penglibatan mereka dalam bidang kejurulatihan sukan. Selain itu, bilangan individu yang menjadi ahli perniagaan peralatan sukan juga tidak kurang. Kejayaan individu dalam pelbagai bidang tersebut bergantung pada kesungguhan seseorang. Hal ini bertepatan dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. (85 pP)

Pelajar yang berikut juga bijak memanfaatkan peribahasa untuk menghasilkan persembahan isi yang tepat dan meyakinkan.
Pelajar U

Sukan merupakan pemangkin perpaduan kaum di negara ini. Di Malaysia, pasukan olahraga dan permainan tertentu, antaranya bola sepak, hoki, dan badminton disertai oleh pemain yang berlainan warna kulit dan budaya. Walaupun begitu, mereka sentiasa berpegang pada konsep muafakat membawa berkat dan bersatu teguh, bercerai roboh. Ertinya, mereka sentiasa bekerjasama untuk mencapai kejayaan. Ketika pertandingan berlangsung pula, penonton daripada pelbagai kaum turut bersatu untuk menyokong pasukan negara. Dengan demikian, semangat kekitaan “espirit de corp” bukan sahaja tertanam dalam kalangan pemain tetapi juga dalam sanubari penyokong. Situasi ini amat penting bagi memantapkan perpaduan kaum yang sudah pun terjalin selama ini. (98 pp)

1 comment:

Qhairul "Qimminas" Aisyam said...

salam

www.aisyamkimminas.blogspot.com

Post a Comment